KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertimbangkan ‘extended family’ turut ditawarkan perumahan menerusi Skim Penempatan Semula Darul Hana di Sungai Bedaun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, satu tatacara telah diwujudkan bagi pemindahan penduduk ke kawasan perumahan yang lebih baik.
“Kita sudah ada satu tatacara untuk memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih baik.
“Justeru itu, saya telah mengarahkan pihak Jabatan Tanah Dan Survei dan wakil rakyat untuk meneruskan usaha pemindahan tersebut dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi serta isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin di sebuah hotel di Kuching, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi turut memaklumkan, tiga agensi utama iaitu pihak Jabatan Tanah Dan Survei, Lembaga Pembangunan Dan Lindungan Tanah (LCDA) dan Perbadanan Perumahan dan Pembangunan Sarawak telah melaksanakan proses ‘land inquiry’ untuk semua ketua isi rumah (KIR) dari Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan lot-lot tambahan.
“Sekiranya tiada kekangan, hampir 500 KIR dari kampung-kampung ini akan menjadi kumpulan pertama yang berpindah pada 1 Ogos 2022.
“Kampung lain yang terlibat adalah Kampung Pulo Hulu, Kampung Pulo Hilir dan Kampung Panglima Seman Hulu juga akan menjalani proses yg sama apabila fasa kedua dan ketiga bagi perumahan yang sedang dibina siap.
“Peringkat ini dijangka dilaksanakan pada tahun 2023 dan 2024, di mana proses pemindahan bakal dijalankan dari semasa ke semasa sehingga kesemua 13 buah kampung berpindah sepenuhnya ke Darul Hana menjelang tahun 2030,” katanya. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS